JOHOR BAHRU, 16 Mac: –
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melancarkan program perisian
kursus terbuka (Open Courseware (OCW)) untuk berkongsi bahan
pembelajaran secara global.
Naib Canselor Profesor Datuk Dr Zaini Ujang
berkata, OCW mengandungi bahan pembelajaran digital berdasarkan kursus
yang ditawarkan di UTM yang boleh dimuat turun secara percuma.
OCW adalah tren pembelajaran terkini yang memanfaatkan teknologi
maklumat untuk menyediakan pendidikan bertaraf dunia yang telah lama
diamalkan oleh universiti terkemuka seperti Institut Teknologi
Massachusetts (MIT), Universiti John Hopkins dan Universiti Tokyo.
Tujuan UTM mengadakan program ini bagi menyediakan platform kepada
staf akademik mempamerkan kepakaran dan membolehkan pengguna dari
seluruh dunia berkongsi bahan pembelajaran digital bermutu tinggi.
Selain itu, Ibu bapa dan bakal pelajar boleh menilai bahan pembelajaran yang ditawarkan dan OCW boleh menjadi daya tarikan kepada mereka untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang diminati di UTM.
Sehingga kini bahan pembelajaran bagi lebih 40 kursus telah dimuat naik ke laman web dan UTM merancang untuk menerbitkan 500 kursus secara online dalam tempoh empat tahun.
MIT yang menjadi pengasas kepada projek ini telah menerbitkan bahan pembelajaran bagi 2000 kursus yang ditawarkan di universiti berkenaan secara online, manakala Khan Academy memuat naik 3,000 bahan pembelajaran dalam bentuk video.
OCW adalah sumbangan sosial UTM kepada masyarakat ke arah peningkatan kualiti pendidikan di negara ini khususnya dan masyarakat dunia umumnya.
Penglibatan UTM dalam OCW mampu menaikkan imej UTM, sebaris dengan universiti ternama di seluruh dunia yang kini mengamalkan konsep perkongsian melalui kemudahan internet untuk meningkatkan ilmu pengetahuan.
Bahan OCW UTM boleh diakses menerusi laman web http://ocw.utm.my.
No comments:
Post a Comment